Sang Hamba: Cinta Dunia

Sang Hamba

Peringatan Buat Diriku yang Lupa

Thursday, April 27, 2006

Cinta Dunia

Pernahkah kita terfikir, bahawa segala tumpuan jasmani dan rohani kita, hari demi hari hanya kepada kehidupan dunia kita. fikir, risau, bimbang kita semata-mata terhad kepada perkara-perkara keduniaan dan kehidupan sebelum mati. Tiap-tiap hari kita fikir tentang apa yang nak dimakan esok atau lusa, bagaimana nak tambahkan harta, bagaimana nak melaburkan duit, bagaimana nak sekolahkan anak, bagaimana nak renovate rumah, bagaimana nak jelaskan hutang itu dan ini, apa yang nak ditukar baru dan bermacam-macam lagi fikir yang berkitar sekitar kehidupan kita di atas dunia ini sebelum mati.

Pernahkah kita sedar bahawa masih ada satu lagi kehidupan yang bakal kita tempuhi, yang seharusnya lebih banyak fikir, risau, bimbang yang perlu kita tumpukan kepadanya, iaitu kehidupan akhirat.

Pernahkah kita fikir, bagaimana aku nanti hendak menjawab soalan malaikat mungkar dan nankir di dalam kubur. Yang mana soalannya hanya akan boleh dijawab oleh iman dan amal yang betul. Sudah benarkah keimanan kita sebulat hati kepada Allah semoga kita boleh menjawab soalan "MAA RABBUKA". Apakah kita telah benar-benar mengamalkan Islam sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi SAW untuk kita menjawab soalan "MAA IMAAMUKA" - Siapa ikutan kamu? Sudahkah kita menunaikan segala hak saudara seislam kita supaya kita boleh menjawab soalan "MAA IKHWAANUKA" - siapakah saudara kamu? dan lain-lain soalan kubur yang hanya boleh dijawab jika kita benar-benar telah menyediakan amalan yang bersesuaian di dunia ini.

Pernahkah kita fikir dan risau akan keadaan kita di padang mahsyar kelak? Tangan kita yang manakah yang akan menerima kitab amalan kelak, kanankah atau kirikah? Kelak kita akan dikumpulkan dalam golongan yang mana, bersama nabikah atau bersama firaun? (lihat hadis nabi dalam TV3 tentang orang yg meninggalkan Solah, semasa masuk waktu solah). Apakah kesudahan kita kelak. syurgakah atau nerakakah?

ketahuilah bahawa Rasulullah SAW bersabda "Ya Allah, tidak ada kehidupan kecuali kehidupan akhirat, maka ampunilah dosa kaum Muhajirin dan Ansar ". 1 hari akhirat bersamaan dengan 1000 tahun dunia. Orang yg hidup 100 tahun di dunia ini umpama seorang yg hidup 2.4 Jam di akhirat. Umpama lahir pukul 7.00 pagi, mati pukul 9.30 pagi. Kehidupan yang tiada kesudahannya sampai bila-bila. Siapa yang celaka, maka kecelakaan yang kekal baginya dan siapa yang bahagia, maka kebahagiaan yang kekal baginya.

Fikir, risau, bimbang kita bergantung kepada apa yang kita yakini dan imani dalam hati. Kurangnya fikir terhadap kehidupan akhirat yang kekal abadi menunjukkan lemahnya yakin kita terhadap segala janji2 Allah dalam kehidupan akhirat. Oleh itu amat penting untuk kita usahakan atas hati agar keyakinan dan keimanan yang kental tentang kehidupan akhirat mula meresap ke dalam lubuk hati kita. Setiap hasil perlukan usaha, itulah sunnatullah. Begitu juga iman, kalau banyak kita usahakan, makan tinggilah iman dan sebaliknya kalau tidak diusahakan maka turun dan berkuranglah iman.

Untuk usaha atas iman kita mesti banyak fikir, zikir dan cakap tentang mafhum kalimah "LA ILA HA ILLALLAH". Bahawa tiada yang berkuasa melakukan apa saja selain Allah. Makhluk semuanya lemah dan tiada kuasa dan semata-mata bergantung kepada takdir Allah. Walau bagaimanapun tidak bermakna kita hanya berserah semata-mata tanpa usaha kerana telah menjadi sunnatullah setiap sesuatu ada asbabnya. Orang yang bahagia, Allah akan permudahkannya beramal dan melakukan usaha orang-orang yang bahagia begitu juga sebaliknya. Dan Allah telah letakkan nilai Iman dan kebahagiaan akhirat di atas susah-payah dan mujahadah dalam mengamalkan Islam ikut cara Nabi SAW. Hendaklah kita banyak cakapkan tentang kehidupan akhirat, hari-hari agar iman kita sentiasa terjaga. Tentang kehidupan kubur, mahsyar, siraat, syurga dan neraka. Tentang segala janji-janji Allah terhadap orang yang beramal dan ancaman Allah terhadap orang yang ingkar.

Kalau kita terus-menerus usahakan perkara ini, barulah sedikit demi sedikit tumpuan jasmani dan rohani kita akan beralih kepada kehidupan kita yang sebenar, yang tidak berpenghujung iaitu kehidupan akhirat. Dengan adanya fikir, risau, bimbang kita terhadap nasib kita di kehidupan sana, mudah-mudahan Allah akan menggolongkan kita dalam orang-orang yang bahagia. Dalam golongan orang yang benar-benar beriman dengan apa yang dia ucapkan dan bukan sekadar mainan di mulut sahaja. Dan kita diterima lagi diredhai olehNya. Wallahu'alam.

- Peringatan buat diriku yg lupa

0 Comments:

Post a Comment

<< Home

 
FRAMEBORDER=0 BORDER=0 MARGINWIDTH=0 MARGINHEIGHT=0 VSPACE=0 HSPACE=0 SCROLLING=NO>